Sejarah Perjuangan AUEGCAS

Dari 1963 Hingga Kini

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1963, AUEGCAS telah memperjuangkan beberapa isu dalam perkhidmatan perkeranian dan pentadbiran. Antara isu-isu tersebut ialah:

  1. Pada tahun 1964, AUEGCAS membuat tuntutan perubahan gaji untuk perkhidmatan kerani dan gred-gred bersekutu. Beberapa tindakan telah diadakan dan tuntutan tersebut berjaya.
  2. Piket pertama telah diadakan di Jalan Hishamuddin, Kuala Lumpur bagi mendapatkan tuntutan elaun rumah, dan tuntutan tersebut berjaya diperolehi.
  3. Perjuangan menentang penamatan perkhidmatan Kerani Sementara, Operator Mesin dan Jurutaip seramai 5,000 orang pada tahun 1965 hingga 1972 melalui representasi, rapat umum dan piket telah berhasil. Kesemuanya telah diserapkan ke jawatan tetap.
  4. AUEGCAS telah menuntut penghapusan Sistem Gred yang diperkenalkan oleh Laporan Gaji Suffian dan berjaya menggantikannya dengan Tangga Gaji Biasa.
  5. Berjaya mendapatkan pelarasan gaji bagi Kerani Kanan pada tahun 1975 dan kemudian digabungkan dengan gred yang lebih tinggi pada tahun 1989.
  6. Pada tahun 1975 hingga 1980, AUEGCAS memperjuangkan perubahan gaji bagi perkhidmatan Operator Telefon dan Jurutaip.
  7. Tuntutan penyerapan Kerani Rendah yang dilantik sebelum tahun 1976 untuk dinaikkan taraf kepada jawatan Pegawai Kerani telah dicapai pada tahun 1985.
  8. Perjuangan pada tahun 1976 menuntut pariti gaji kerani dengan gred-gred lain di sektor awam juga telah berjaya.
  9. Antara tahun 1975 hingga 1989, AUEGCAS membuat tuntutan, berunding dan membangkitkan 22 isu di bawah Akta Tribunal Perkhidmatan Awam. Hampir kesemua tuntutan yang dikemukakan berjaya diselesaikan.

Isu yang dibangkitkan termasuklah perkhidmatan Kerani Penyambut, Operator Telefon, status tetap bagi mereka yang gagal peperiksaan percubaan, penyerapan Kerani Rendah yang gagal memasuki jawatan Kerani secara pelantikan, serta beberapa kes kumpulan dan individu yang berkaitan.

AUEGCAS juga terus memperjuangkan tuntutan penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) supaya pelarasan dan peningkatan gaji yang berpatutan dapat diberikan tanpa diskriminasi kepada kumpulan sokongan pada tahun 2003.